Monday, June 11, 2007

R2V- Our Head coach , Mr Liew.

Apart from our news in The Star, our Head coach, Mr.Liew ,was also the limelight of the day. The article was written by Dato' Sarp, one of the MC Old Boy wo has never failed to be at the side of the basketball court every year during HKSBP finals.

Mr Liew, as per written in K.Ana's email earlier, was the basketball 'Tok Bomoh' who helped TF Dynamites to get back our tropy after 16 years. And yes, this year it is a history as both teams MC Cagers and TF Dynamites, under his guidance and coaching, managed to win both trophies. And, not only he stressed on the seriousness of the basketball game, he also stressed the importance of studying and achieving excellent results on the players.

The excerpt below taken from Berita Harian, Saturday 9th June 2007.

Perspektif: Jurulatih sukarela mampu bentuk pasukan berjaya


PERTANDINGAN bola keranjang lelaki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Piala Hamdan Tahir ke-32 di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi yang berakhir 31 Mei lalu berkesudahan dengan keputusan yang dijangka dari awal, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menang perlawanan akhir dengan menewaskan Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) 103-62.


Pertandingan itu dimulakan pada 1974 dan kecuali pada 1998-1999, ia diadakan setiap tahun. Dalam tempoh itu, pasukan MCKK yang menggelar dirinya Cagers paling banyak menjadi johan, iaitu 12 kali, di samping empat kali menjadi naib johan.

Ini diikuti Maktab Tentera Diraja Sungai Besi (RMC) yang menjadi johan sebanyak lima kali dan naib johan 10 kali dan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) yang menjadi johan lima kali dan naib johan tiga kali.

Cagers satu-satunya yang menang tiga tahun berturut-turut dua kali, iaitu pada 1981-1983 dan 2004-2006. Pasukan lain yang pernah menang tiga tahun berturut-turut ialah SDAR, iaitu pada 1974-1976.

Dengan kemenangannya kali ini, Cagers satu-satunya yang pernah menang empat tahun berturut-turut, iaitu pada 2004-2007.

Dalam 20 tahun pertama pertandingan ini (1974-1993), Cagers menjadi johan lapan kali dan naib johan tiga kali. Pada tahun tidak memasuki pertandingan akhir, ia sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir. Kerana prestasinya yang luar biasa itu, Piala Hamdan Tahir yang asal dihadiahkan untuk simpanan Cagers.

Apakah rahsia kecemerlangan Cagers? Jawapan ialah jurulatihnya, Liew Yong Choon. Anak Kuala Kangsar ini graduan Universiti Malaya, menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai kadet Asisten Superintendan (ASP) pada 1975 dan bersara pilihan sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC) pada 1997.

Beliau pemain Perak (1968), Exco Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA) pada 1980 dan Naib Presidennya (1987-1989) serta pengurus pasukan bola keranjang lelaki Malaysia (1988-1989).

Pada 1988, pasukannya menewaskan pasukan Olimpik Korea Selatan di kejohanan Piala William Jones di Taiwan, manakala di Sukan Sea 1989, selepas hampir 20 tahun tidak memenangi pingat emas, pasukannya berjaya memenanginya dan ia juga kali terakhir bagi kita setakat ini.

Liew diundang melatih Cagers mulai 1974, iaitu sebelum Piala Hamdan Tahir yang pertama di mana Cagers menduduki tempat ketiga, iaitu di belakang SDAR dan RMC.

Mulai saat itu, Liew yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur berulang alik untuk melatih Cagers. Beliau berehat pada 1988-1989 untuk menjadi pengurus pasukan Malaysia. Beliau kembali melatih Cagers pada 1992-1993 sebelum berehat panjang.

Dalam tempoh 20 tahun itu (1974-1993), Liew menjadi jurulatih secara sukarela, iaitu tanpa imbuhan. Bukan kerana MCKK atau Persatuan Murid-Murid Tua MCKK (MCOBA) tidak menghulurkan apa-apa. Tetapi kerana beliau tidak mahu menerima apa-apa. Sebalik, beliau banyak membelanjakan duitnya sendiri untuk Cagers.

Ketika ketiadaan Liew selama 10 tahun (1994-2003), Cagers menjadi naib johan pada 1994 dan pada 1995 hanya layak ke separuh akhir. Pada 2003, Liew kembali melatih Cagers. Bekas Cagers menubuhkan Quest 4 Glory (Q4G) yang lengkap dengan tabung membiayai keperluan Cagers. Tetapi Liew enggan menerima apa-apa. Sasaran Q4G ialah menjadi johan mulai 2005, iaitu sempena ulang tahun ke-100 MCKK. Kehebatan Liew membolehkan Cagers menjadi johan setahun lebih awal, pada 2004.

Kini, Cagers tidak terhad dalam SBP. Ia juga disegani di Perak dan Pulau Pinang. Pada 2005, ia diundang menyertai pertandingan bola keranjang tahunan di Sungai Siput, Perak, dan menjadi pasukan luar yang pertama menjuarainya. Pada 2006, Cagers satu-satunya pasukan luar diundang ke pertandingan bola keranjang bawah 16 tahun Pulau Pinang.

Liew membina Cagers mempunyai sikap betul. Mereka bermain seperti profesional – menguasai kemahiran asas yang tinggi, mematuhi strategi dan taktik yang ditentukan, berstamina, berdisiplin, komited, bersistem dan berlatih sepanjang tahun.

Cagers juga mempunyai rekod akademik membanggakan. Liew dan Q4G menentukan sasaran tertentu. Sesiapa yang gagal memenuhinya tidak dibenarkan berlatih dan bermain untuk masa tertentu. Pernah dua pemain utamanya tidak diturunkan dalam Piala Hamdan Tahir peringkat zon kerana gagal satu kertas peperiksaan.

Q4G menyediakan tuisyen oleh guru dari luar untuk Cagers bagi subjek lemah SPM. Liew sendiri memberi tuisyen Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk Penilaian Menengah rendah (PMR). Pemain senior digalakkan membantu pemain junior.

Rekod SPM Cagers ialah pada 2005 apabila dua orang mendapat 101A, iaitu kaptennya dan pemain terbaik Piala Hamdan Tahir, Ahmad Amirul Hafidz Ab Rahman, adalah pelajar terbaik Malaysia dalam kategori itu dan Ketua Murid, Ahmad Khalis Nazib.

Bagi Liew ini mempengaruhi Cagers dan Q4G, bola keranjang bukan untuk MCKK saja. Liew mahu mutu bola keranjang meningkat. Justeru, beliau melatih Sekolah Tun Fatimah (STF) dan membantu Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) dan mulai Julai ini, Kolej Tunku Kurshiah (TKC).

Yang menariknya, dalam bola keranjang perempuan SBP Piala Hajah Zainab tahun ini yang diadakan serentak dengan Piala Hamdan Tahir itu, dua didikannya, iaitu SESMA, berjaya untuk pertama kalinya sampai ke separuh akhir, manakala, STF, selepas 16 tahun kemarau johan, berjaya menewaskan Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu kuasa utama bola keranjang perempuan SBP, dalam perlawanan akhir.

Ini bermakna tahun ini, Liew mengetuai juara berganda, iaitu MCKK dan STF – satu sejarah yang pertama kali terlakar.

Sesungguhnya, perjalanan Liew membentuk dan memupuk kejayaan Cagers dan kesinambungan Q4G, serta penerimaan orang lain terhadapnya, adalah amalan terbaik yang ulung dalam semangat, pendidikan dan mutu kesukanan.

Penulis adalah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)

No comments: