Monday, May 7, 2007

Definisi Cinta dalam Keluarga

Apakah agaknya definisi CINTA yang ditafsirkan oleh Isteri, Suami dan Anak? Mari kita kongsi bersama.

Definisi Cinta oleh Isteri:

Setiap isteri memerlukan cinta suami. Rasa cinta ini perlu diluahkan juga sekali-sekala dengan kata-kata lemah lembut dan manis, walaupun sudah ditunjukkan dengan perbuatan. Rasa cinta ini juga membolehkan si isteri atau ibu berkorban apa sahaja demi suami dan anak-anaknya, walaupun dibatasi dengan tenaga dan akal fikiran yang lemah, berbanding lelaki.Cinta itu dieja oleh isteri dengan C.I.N.T.A.

Definisi Cinta oleh Suami:

Ramai yang berpendapat, yang paling utama bagi suami ialah hubungan kelamin. Namun, itu tidak 100 peratus benar. Setiap suami, yang paling utama ditagih daripada isteri dan ahli keluarganya ialah rasa hormat. Biar tinggi mana kedudukan isteri, atau biarlah suami berada di pihak yang salah. Mereka lebih gemar dihormati terlebih dahulu sebelum mengakui kesalahan mereka. Contohnya, apabila pertengkaran berlaku antara suami dan isteri, walaupun isteri di pihak yang benar dan suami sebaliknya, adalah lebih baik sekiranya isteri mengalah terlebih dahulu, menenangkan hati suami, sebelum memperjelaskan apa yang perlu. Begitulah rasa hormat itu boleh diterbitkan, daripada sama-sama meninggi suara demi mempertahankan pendirian masing-masing. Rasa tidak dihormati ini bakal mengundang situasi yang lebih memudaratkan.Cinta dieja oleh suami dengan H.O.R.M.A.T.

Definisi Cinta oleh Anak daripada Ibubapa:

Anak-anak walau diberi limpah harta benda dan wang ringgit, tetap tidak akan merasa nikmat cinta ibubapa sekiranya tidak diluangkan masa bersama mereka. Namun, tidak bererti ibubapa tidak perlu berusaha keras untuk memenuhi keperluan material mereka. Ada petua yang mengatakan bahawa anak-anak yang dihantar oleh ibu atau bapanya ke sekolah, akan lebih berjaya. Kata-kata yang diluahkan juga perlu mengambil kira hati dan perasaan mereka yang teramat sensitif dan memberi kesan mendalam terutamanya jika diluahkan oleh ibubapa mereka.Oleh itu, cinta dieja oleh anak-anak dengan M.A.S.A.

Posting on behalf of Ira9094

No comments: